Tuesday, February 16, 2010

Liku-Liku Dalam Hidup...




16hb Feb 2010 (12:52 am)

Kalau selama ini aku menyangka aku bermimpi, kejutkanlah aku sejenak daripada mimpi yang KAU beri. Renjislah aku dengan gerimis-Mu yang selalu mengintai aku di balik awan-Mu.

Kalau selama ini aku menyangka aku bermimpi, bangkitkanlah aku daripada igauan-Mu. Simbahlah aku dengan kocakan air dari langit-Mu yang tidak bertepi.

Tuhanku...
Mengapa mimpi panjang sekali sehingga aku terlena dalam arus yang mengkhayalkan. Sekali pun tidak pernah terlintas di hati ini bahawa mimpiku akan berakhir dengan realiti. Tersungkur aku... Ya Allah. Di dada bumi-Mu yang telah hilang merah. Betapa selama ini aku tertipu dengan bayang-bayang mentari padahal rembulan sudah lama menghuni.

Tuhanku...
Andainya aku tersasar jauh dari jangkauan-Mu, kembalikanlah aku dalam selimut kasih-Mu supaya aku tidak tergolong dalam kalangan yang tertipu bukan oleh siapa-siapa tetapi tertipu oleh bayang-bayang sendiri.

Tiada yang aku inginkan selain kelestarian sebuah bahtera kehidupan. Yang kulayari bersama dia... ditemani kuntum-kuntum cinta kami. Namun, andai tiba-tiba berpusar ganas riak yang tenang, taufan melayang tanpa undangan... tunjukkanlah aku jalan supaya lidahku tidak terus kelu. Juga, agar lidahku tidak membidas buas. Lontarkanlah buah-buah bahasa yang mampu menyusup ke hati seorang lelaki. Seorang lelaki yang dahulu pernah membawa aku berlari-lari di sekitar pelangi, yang sama-sama meredah belantara, menuruni lembah, mengharung onak...dan kami bahagia.

Tuhanku...

Barangkali pengertian bahagia dari sudut pandanganku jauh sekali dengan pengertian bahagia dari sudut pandangan dia. Barangkali dia sudah puas berada di puncak bahagia bersamaku. Lalu, dia menuruni lembah untuk mencari bahagia yang baru.

Mungkin kerana saban hari aku meneguk secawan luka, menghirup secangkir lara, aku menjadi biasa. Lantas, luka itu mampu kurawat sendiri. Lara itu kujahit sendiri.

Dan, lama-lama aku menjadi mengerti...seperti mengertinya insan-insan terdahulu. Kusedari kini...mengujiku adalah mainan-Mu. Memberi padaku juga adalah limpah kurniaan-Mu. Mengambil juga adalah hak-Mu. Justeru, aku kian berani menempuh hari-hari-Mu...