Thursday, October 1, 2009

Strategi Menjawab Soalan Tatabahasa SPM

KESALAHAN TATABAHASA


Peringatan kepada pembaca,

1. Lazimnya terdapat 2 kesalahan dalam satu ayat.
2. Salin semula ayat dan betulkan kesalahan bahasa yang terdapat dalam ayat tersebut.
3. Garis jawapan yang anda telah betulkan kesalahan
4. Jangan ubah struktur ayat berkenaan.


Jenis-jenis kesalahan yang lazim dikemukakan dalam soalan

1. Kesalahan perkataan atau kosa kata.

Contoh;

Ahmad keciwa = sepatutnya kecewa (kesalahan ejaan)

Pelancung = pelancong (kesalahan ejaan)

Perabut = perabot.(kesalahan ejaan).

Pergi melancung = sepatutnya melancong
(kesalahan penggunaan perkataan)

Tinggal di pendalaman = sepatutnya pedalaman (kesalahan
penggunaan perkataan)

2. Kesalahan frasa mengikut hukum D – M.

Dalam bahasa Melayu hukum D (unsur yang diterangkan) merupakan unsur inti yang hadir pada kedudukan yang pertama dan M (unsur yang menerangkan) hadir pada kedudukan yang kedua dalam frasa ayat

Contoh;

Cili sos = sepatutnya sos cili

Nusantara Restoran = sepatutnya Restoran Nusantara

Mini bas = sepatutnya bas mini

Kredit kad = sepatutnya kad kredit



3. Perkataan orang, kaum, keturunan, bangsa, bahasa dan suku kaum mesti digunakan apabila kita hendak menyebut sesuatu kaum, suku kaum, bangsa, keturunan atau bahasa.

Contoh,

Penduduk negeri Johor kebanyakannya Melayu (salah)
Penduduk negeri Johor kebanyakannya orang Melayu (betul)

Cina pernah menjadi bangsa yang bertamadun (salah)
Bangsa Cina pernah menjadi bangsa yang bertamadun (betul)

Melayu, Cina dan India ialah kaum yang terbesar di negara ini (salah)
Kaum Melayu, Cina dan India ialah kaum yang terbesar di negara ini (betul)

Bahasa yang digunakan itu ialah Melayu, bukan Inggeris (salah)
Bahasa yang digunakan itu ialah bahasa Melayu bukan bahasa Inggeris (betul)

Sarawak telah lama didiami oleh Iban (salah)
Sarawak telah lama didiami oleh kaum Iban (betul)

4. Kesalahan makna ayat yang tidak jelas.

Contoh;
Tanah liat ialah mineral silikat paling halus sehingga memerlukan teknik sinar-X untuk mengkajinya.(salah)
Tanah liat ialah mineral silikat paling halus sehingga untuk mengkajinya diperlukan teknik sinar-X. (betul)


5. Kesalahan ayat yang tidak mempunyai subjek.

Contoh;

Ini dapat dilihat pada harga belimbing besi di Kuala Lumpur cuma berjumlah
RM2.00 sekilo (salah)

Hal ini dapat dilihat pada harga belimbing besi di Kuala Lumpur, iaitu berjumlah RM2.00 sekilo (betul)


6. Ayat tergantung.

Contoh;

Penjenayah itu dijatuhi oleh hakim. (salah)
Penjenayah itu dijatuhi hukuman oleh hakim (betul)


7. Kesalahan penggunaan bahasa yang tidak sesuai mengikut taraf sosial seseorang.

Contoh;

Baginda berucap kepada pembesar negeri (salah)
Baginda bertitah kepada pembesar negeri (betul)

8. Kesalahan frasa kerja yang kata kerja transitif tidak diikuti oleh penyambut (objek).

Contoh;

Ali melukis untuk dihadiahkan kepada kakaknya (salah)
Ali melukis gambar untuk dihadiahkan kepada kakaknya (betul)


9. Kesalahan penggunaan kata sendi nama.

Contoh;

Ketika keluar daripada kelas 5 Teratai, saya terlanggar gadis itu (salah)
Ketika keluar dari kelas 5 Teratai, saya terlanggar gadis itu (betul)

10. Kesalahan penggunaan kata jamak.

Contoh;

Kebanyakan guru-guru lelaki telah dihantar ke kawasan luar bandar (salah)
Kebanyakan guru lelaki telah dihantar ke kawasan luar bandar (betul)


11. Kesalahan penggunaan kata ganda.

Contoh;

Perdana Menteri-Perdana Menteri negara ASEAN sedang bermesyuarat di Bangkok. (salah)
Perdana-Perdana Menteri negara ASEAN sedang bermesyuarat di Bangkok (betul)

12. Kesalahan penggunaan kata imbuhan.

Contohnya;

Kerajaan sedang memperbesarkan jalan raya di kampung itu (salah)
Kerajaan sedang memperbesar jalan raya di kampung itu (betul)


Contoh-Contoh

Penggunaan Kata, Frasa Dan Ayat

• Ada berbagai barang di kedai itu. (salah)
• Ada berbagai-bagai barang di kedai itu. (betul)
• Ada pelbagai barang di kedai itu. (betul)

• Ali dihadiahkan sebuah buku harian. (salah)
• Ali dihadiahi sebuah buku harian. (betul)

• Di antara mereka yang hadir. (salah)
• Antara mereka yang hadir. (betul)

No comments:

Post a Comment